PERIKSA...Che Mahazan melihat mayat mangsa karam berhampiran pantai Teluk Semayong, semalam.
KOTA TINGGI: “Saya membayar RM24,000 untuk kos perjalanan dari Afghanistan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kemudian menaiki penerbangan ke Malaysia sebelum dibawa ke destinasi akhir iaitu Australia.
“Namun, apa yang saya dapat hanyalah kesedihan apabila saudara saya lemas dalam kejadian bot pancung kami naiki, karam,” kata Nametullah, 25, antara 12 penumpang yang terselamat selepas bot pancung dinaiki 25 orang, termasuk warga Iraq dan Afghanistan, karam berhampiran pantai Teluk Semayong, Sedili Besar di sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Kejadian itu menyebabkan lapan mati lemas dan lima lagi masih hilang.
Nametullah mendakwa berasal dari Afghanistan ketika ditemui di Balai Polis Sedili berkata, semua mereka mempunyai pasport menaiki penerbangan dari Dubai dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.
Berdasarkan maklumat awal, semua anggota kumpulan itu dibawa dari KLIA ke Johor, kelmarin sebelum menaiki bot untuk ke Batam, Indonesia pagi semalam.
“Kami membayar kepada sindiket membawa kami ke Australia bagi mendapatkan pekerjaan dengan harapan mengubah kehidupan. Kini semuanya musnah, pasport kami juga tenggelam menyebabkan kami bertambah sukar,” katanya.
Bagaimanapun, tidak banyak diketahui mengenai perjalanan mereka serta latar belakang anggota kumpulan kerana masalah komunikasi. Seorang penterjemah dari Kedutaan Iraq akan dibawa ke balai polis berkenaan hari ini bagi membantu proses dokumentasi selain siasatan.
Seorang lagi mangsa, Atallah Rafki, 23, dari Iraq berkata, bot berkenaan baru 10 minit bertolak dari pantai apabila ia dimasuki air.
“Rakan di belakang bot menjerit mengatakan bot dimasuki air dan tidak lama kemudian, ia tenggelam.
“Beberapa rakan terkapai-kapai di dalam air sebelum hilang dibawa arus. Nasib baik saya dan yang lain berjaya berenang ke pantai,” katanya.
Menurutnya, mereka menaiki bot pancung terbabit di pantai Teluk Semayong untuk dibawa ke Batam, Indonesia, sebelum ke Australia.
“Ombak ketika itu agak kuat dan kami tidak diberikan jaket keselamatan. Jumlah penumpang terlalu ramai ditambah laut bergelora mungkin menjadi punca tragedi ini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pasukan Gerakan Marin (PGM) berkata, operasi mencari lima mangsa yang hilang dihentikan jam 6 petang semalam kerana keadaan laut bergelora selain ombak setinggi dua meter.
No comments:
Post a Comment