virus zika

Wednesday, 1 February 2012


Exco akui LPHS silap tuntut

KAWASAN perumahan kos rendah Taman Kayu Ara Indah yang terletak di Damansara Utama, Petaling Jaya.


SHAH ALAM - Isu sekumpulan pemilik kediaman di Taman Kayu Ara Indah, Damansara Utama, Petaling Jaya menerima surat tunggakan ansuran rumah sedangkan mereka tidak lagi berhutang didapati berpunca daripada kesilapan pentadbiran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, kes itu adalah yang pertama kali berlaku melibatkan agensi kerajaan negeri Selangor itu.
"Kami dapati kejadian itu disebabkan masalah pentadbiran di LPHS. Saya sudah mengarahkan mereka untuk menyelesaikan masalah itu dan kekeliruan yang timbul dengan kadar segera," tegasnya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor di sini semalam.
Kosmo! dalam laporan muka depan semalam melaporkan nasib sekurang-kurangnya 10 pemilik rumah di taman tersebut yang terkejut menerima surat notis tunggakan hutang daripada LPHS berjumlah RM2,000 hingga RM30,000.
Surat itu menyebabkan para penerimanya bingung memandangkan mereka mendakwa sudah lama menyelesaikan baki pinjaman rumah masing-masing baik menerusi bayaran sekali gus seawal tahun 2002 atau menerusi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Akibat kejadian itu, ada pemilik rumah yang jatuh sakit akibat tekanan perasaan selain pasangan suami isteri bergaduh.
Iskandar memberi jaminan untuk mengambil tindakan segera bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul dengan mengarahkan wakil LPHS mengadakan pertemuan dengan penduduk secepat mungkin.
"Mereka yang sudah mempunyai geran dan juga surat lepasan gadaian tidak perlu bimbang kerana LPHS tidak akan mengambil tindakan atau menyita rumah mereka," jelasnya.

No comments: