Tragedi lemas: Majlis Keselamatan Air ditubuh
SHAH ALAM - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan akan menubuhkan Majlis Keselamatan Air bagi menyelaras isu
berkaitan kes lemas dan keselamatan air.
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Majlis Keselamatan Air
boleh berperanan secara positif dan signifikan dalam menangani kes lemas
di negara ini.
"Beberapa mesyuarat diadakan membabitkan Kementerian saya, pegawai Tan
Sri Lee Lam Thye, agensi kerajaan berkaitan, pertubuhan sektor swasta
dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperincikan butiran pembentukan
Majlis Keselamatan Air," kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan, hari
ini.
Menurut Abdul Rahman lagi, kertas Kabinet telah dirangka dan diedar di kalangan kementerian serta jabatan berkaitan.
"Kementerian dan jabatan berkaitan ini menyokong cadangan mengenai
penubuhan Majlis Keselamatan Air dengan Kementerian Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjadi pihak utama dalam
menyelaras program, aktitivi serta maklumat berhubung kesedaran
keselamatan air dan sistem amaran awal.
"Majlis ini juga akan berfungsi sebagai platform utama bagi agensi
kerajaan berkaitan, di samping pertubuhan sektor swasta dan NGO bagi
membincangkan perkara berkaitan isu keselamatan air, merangkumi aspek
rekreasi, sukan, pengangkutan, pekerjaan atau di rumah," katanya Abdul
Rahman lagi.
Menurut beliau, kertas Kabinet berhubung pembentukan majlis tersebut
dijangka dapat dibentang dalam mesyuarat Kabinet pada Januari 2016 bagi
mendapat kelulusan.
"Sebaik Majlis Keselamatan Air dibentuk, semua pihak berkuasa yang
berkaitan dan masyarakat akan memiliki kesedaran lebih tinggi terhadap
risiko yang ada dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak tragedi
seperti di Air Terjun Belukar Bukit, Terengganu daripada berulang,"
akhiri beliau.
Pada 19 Disember lepas, tragedi menimpa enam sekeluarga apabila lima
daripada mereka ditemui mati lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu
Terengganu.
No comments:
Post a Comment