http://www.sinarharian.com.my/nasional/alangkah-elok-keperluan-sekolah-dikecualikan-gst-1.466318
MEMETIK LAPORAN WARTAWAN SINAR HARIAN
TERKESAN dengan kenaikan harga barang selepas
pelaksanaan GST, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta
kerajaan mempertimbangkan untuk mengecualikan keperluan sekolah daripada
dikenakan GST.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman berkata, kenaikan kos sara
hidup sudah cukup membebankan, kini ditambah pula dengan kenaikan harga
keperluan sekolah yang pastinya membebankan lagi kewangan ibu bapa.
Katanya, saban tahun berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan dan
ia memberi kesan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan
mempunyai ramai anak bersekolah.
“Suasana sekarang ini dirasakan lebih sukar bagi ibu bapa memenuhi
keperluan sekolah anak-anak, dengan kenaikan harga barang sedangkan
pendapatan tidak meningkat.
“GST diketahui membebankan, ditambah pula dengan kos menyediakan keperluan sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.
[ARTIKEL BERKAITAN: Persiapan masuk sekolah makin mahal lepas GST]
Beliau berkata, pelbagai cara dan alternatif diguna pakai oleh
kebanyakan ibu bapa dalam menjimatkan perbelanjaan persekolahan anak,
namun dengan kenaikan harga, perkara itu tidak dapat dielakkan.
“Pakai semula pakaian yang masih elok. Tiada pilihan terpaksa gunakan
yang lama. Selama setahun, itulah dua pasang baju yang terpaksa
digunakan. “Belanja seorang anak pun sekurang-kurangnya memerlukan
anggaran RM350 untuk membeli kelengkapan pakaian dan buku. Belum dikira
kos tambang bas atau van sekolah lagi,” katanya.
Justeru, beliau merasakan perlu ada satu mekanisme daripada kerajaan
sebagai usaha membantu golongan ibu bapa menghadapi dilema ini.
Dalam pada itu, Dr Maamor berkata, sebagai salah satu jalan penyelesaian, koperasi sekolah perlu memainkan peranan.
“Inilah masanya semua sekolah menyatakan sokongan dengan menawarkan
harga yang lebih murah dari pasaran sebagai pilihan yang lebih jimat
kepada ibu bapa,” katanya.
Katanya, dengan pembelian pukal daripada koperasi, harga pastinya lebih
murah dan memberikan lebih banyak penjimatan kepada ibu bapa serta
pelajar.
“Saya harapkan supaya semua sekolah menyokong pembelian melalui
sekolah. Lebih baik juga bantuan RM100 daripada kerajaan itu diberikan
dalam bentuk baucar dan ditebus di koperasi sekolah,” katanya.