KOTA
KINABALU 1 Feb. - Seorang ibu berdepan detik menyedihkan apabila
kereta yang dipandu secara tidak sengaja merempuh anak perempuannya
ketika menghantar kanak-kanak itu di Taska Alam Damai, di sini hari ini.

KERETA milik seorang ibu yang tidak sengaja merempuh anaknya hingga mati di Taska Alam Damai, Kota Kinabalu, semalam.
Ekoran kejadian yang berlaku kira-kira pukul
9.30 pagi itu, anak perempuannya, Megan Wong Shi Ting, 4, meninggal
dunia selepas dikejarkan ke Hospital KPJ di sini.
Selain
anak perempuannya, turut cedera dalam rempuhan itu ialah dua
kanak-kanak lain, masing-masing berusia lima dan enam tahun, serta
seorang guru taman asuhan kanak-kanak (taska) berusia 25 tahun.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa dilaporkan stabil.
Ketua
Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, berdasarkan
laporan, kejadian berlaku selepas ibu mangsa menurunkan kanak-kanak itu
di taska berkenaan.
“Wanita itu mendakwa
tertekan pedal minyak sebelum sempat menukar gear undur lalu merempuh
anaknya yang sedang berjalan beriringan dengan seorang guru taska
bersama dua kanak-kanak lain.
“Akibat
rempuhan itu, anaknya bersama guru dan dua yang lain terjatuh ke lantai
di hadapan pintu masuk taska berkenaan,” katanya di sini.
Tambah
Chandra, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital KPJ untuk
mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia di unit
kecemasan hospital berkenaan kira-kira pukul 10.10 pagi.
Menurut
beliau, tiga lagi mangsa iaitu guru serta dua orang kanak-kanak
terbabit dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk rawatan lanjut.
Ujar
Chandra, siasatan awal mendapati kemalangan ini disebabkan oleh
kecuaian ibu kanak-kanak itu kerana gagal mengawal kenderaan dengan baik
hingga terlanggar guru serta tiga murid termasuk anaknya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
- See more at:
http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/tidak-sengaja-rempuh-anak-hingga-mati-1.185879#sthash.wlC8NNgw.dpuf